Bazar Ramadan tarik 145 gerai di Kompleks PKNS Shah Alam

BAZAR RAMADAN 5

 

SHAH ALAM, 22 JUN: Lebih 145 lot niaga Bazar Ramadan yang ditawarkan bak pisang goreng panas dan menjadi rebutan di kalangan peniaga di Kompleks PKNS Shah Alam.

Kebanyakannya pula adalah peniaga lama dan telah berniaga sejak bazar itu mula dibuka 18 tahun lalu.

Peniaga murtabak, Rini Andriani Mohd Rashid, 23, berkata, walaupun sewa tapak agak mahal tetapi ia amat berbaloi dengan keuntungan yang beliau terima daripada jualan makanannya itu.

“Ya…sewa tahun ini mahal sedikit tetapi bagi saya ia berbaloi, kerana lokasi di sini amat strategik dan ramai pengunjung yang datang ke sini dan SACC Mall untuk membeli–belah jadi gerai saya sentiasa ada pembeli yang akan singgah untuk membeli makanan untuk berbuka.

“Setiap hari di sini sentiasa penuh dengan pengunjung terutama sekali pada hujung minggu, pengunjung dua kali ganda lebih ramai dari hari biasa,” katanya yang sudah empat tahun berniaga murtabak di bazar Ramadan itu.

Bagi peniaga air, Fantimelia Adlis, 41, yang sudah berniaga di bazar Ramadan itu hampir 19 tahun lalu tetap setia untuk membuka gerainya pada Ramadan kali ini.

“Saya memilih untuk membuka gerai di bazar ini kerana sejak 19 tahun lalu pelanggan saya sudah biasa dengan tempat ini. Jika ada bazar Ramadan di Kompleks PKNS mesti saya ada, ia memudahkan pelanggan membeli produk.

“Saya tidak membuka gerai di bazar lain, cukup hanya di sini sahaja saya mampu untuk menarik pelanggan-pelanggan saya membeli air. Air saya yang popular air jagung dan tembikai susu,”katanya yang berasal dari Kuala Lumpur.

Manakala, bagi peniaga Ayam Baek Nasi Putih yang baru menyertai bazar Ramadan itu tahun ini, Mohd Khairil Ismail, 34, berkata, Kompleks PKNS Shah Alam sentiasa berada dekat di hati masyarakat terutamanya pada bulan Ramadan dan Syawal.

“Saya telah membuat perbandingan di tempat lain, ia tidak boleh menandingi kemeriahan pengunjung di sini, oleh sebab itu saya memilih Kompleks PKNS.

“Walaupun dengan pengenalan GST dan beberapa barangan (harga) naik, gerai saya masih menjual pada kadar yang berpatutan,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC), Fakru Radzi Ab Ghani, berkata, orang ramai kini boleh menikmati suasana Jalan Tuanku Abdul Rahman dengan mengunjungi Festival Ramadan Selangor 2016 (Festira’16) sempena Ramadan dan Aidilfitiri tahun ini.

“Pada festival tahun ini juga PREC mengadakan promosi besar-besaran melalui media elektronik seperti televisyen dan radio selain itu kita memperkasakan lagi promosi melalui media sosial seperti Facebook dan Instagram bagi menguar-uarkan kepada orang ramai untuk datang memeriahkan lagi FESTIRA 16,” katanya.

EZY

sumber : http://m.selangorku.com/?post=98577

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Leave a Comment