Oleh: HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM, 12 JUN: Orang ramai kini boleh menikmati suasana Jalan Tuanku Abdul Rahman dengan mengunjungi Festival Ramadan Selangor 2015 (Festira’15) sempena Ramadan dan Aidilfitiri tahun ini.
Festira’15 berlangsung di SACC Mall, di sini, selain Kompleks PKNS Shah Alam, Kompleks PKNS Bangi dan Wisma Yakin Kuala Lumpur mulai 5 Jun hingga 17 Julai ini.
Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata Festira’15 bertemakan “Cerita Hari Raya Kita” menjanjikan pengalaman berbeza kepada pengunjung dengan pelbagai aktiviti dan program menarik.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri menyediakan 600 ruang niaga di empat lokasi terbabit dan 500 daripadanya di SACC Mall dan Kompleks PKNS Shah Alam.
Katanya, festival itu membolehkan orang ramai berkunjung ke destinasi sehenti berkenaan berdasarkan konsep beli belah riadah dan ibadah untuk membeli belah, berbuka puasa, berhibur, beramal dan bersantai.
“Kerajaan Negeri menyediakan persembahan lebih menyeluruh dengan pelbagai program seperti keagamaan dan kebudayaan pada hujung minggu selain kemudahan orang ramai membuat persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

Setiap hujung minggu, pengunjung akan dihidangkan dengan persembahan artis popular seperti Heliza Helmi, Nowseeheart, Muhibbain, Jay Jay dan Najwa Latif selain permainan rakyat dan kuiz uji minda yang membolehkan mereka memenangi hadiah menarik.
Festira’15 anjuran PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) dengan kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam (MAPIM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Agsa Syarif dan beberapa NGO lain.
-NFN-
