Kompleks PKNS Bangi

kpbKompleks PKNS Bangi adalah mercu tanda yang tertua dan terkemuka di Bangi. Sebuah gabungan bangunan pejabat dan kompleks membeli-belah, KPB merupakan destinasi bersantai dan tempat riadah untuk seisi keluarga yang memang terkenal di bandar yang semakin membangun ini.

Kompleks ini menyediakan pengalaman membeli-belah yang selesa dan ringkas. Terdapat 65 buah kedai yang menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan penduduk setempat. Lebih dikenali sebagai destinasi membeli-belah busana Islam dan Muslimah yang terkini selain mengikut trend semasa, para pengunjung semestinya teruja dengan adanya kepelbagaian dalam pilihan dan cita rasa.

Kompleks ini juga sudah lama menjadi destinasi pilihan untuk mereka yang ingin menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga dan sahabat handai terutamanya di hujung minggu. Tanpa perlu berjalan jauh, penduduk Bangi mengunjunginya untuk menikmati perkhidmatan yang sedia ada seperti restoran makanan segera dan medan selera, kedai buku dan alat-tulis, farmasi, pasaraya dan banyak lagi. Sesuai dengan kehendak para pengunjung, Kompleks juga menyediakan kemudahan lain yang penting seperti surau, tempat letak kereta yang luas, mesin ATM dan juga dewan serbaguna.

Lokasi Kompleks yang terletak di tengah-tengah kawasan komersial dan pusat perniagaan menjadikannya tempat persinggahan utama di Bangi. Bagi mereka yang menjadikan Kompleks PKNS Bangi sebagai destinasi membeli-belah pilihan utama, setiap kunjungan semestinya akan membawa kenangan manis dan hasrat untuk kembali semula dengan segera.