PREC Lancar Pusat Jualan Atas Talian BazaarLokal

SHAH ALAM, 5 JUN : PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) bakal melancarkan pusat jualan atas talian pertamanya iaitu Bazaar Lokal sebagai platform tambahan untuk para pelanggan membeli-belah dari kedai-kedai di pusat membeli-belah milik PREC.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, perkembangan dunia digital dan peningkatan penggunaan e-dagang di Malaysia mendorong PREC untuk menubuhkan Bazaar Lokal bagi menggalakkan penyewa-penyewa di pusat membeli-belah milik PREC untuk menerokai peluang dan mengembangkan perniagaan di atas talian.

“Penubuhan konsep pusat jualan ini adalah infrastruktur tambahan untuk melengkapkan perniagaan PREC sedia ada sebagai pengendali pusat membeli-belah kami iaitu SACC Mall, Kompleks PKNS Shah Alam dan Kompleks PKNS Bangi”, ujar Radzi.

“Buat masa ini, platform Bazaar Lokal ditubuhkan untuk memberi keutamaan kepada penyewa-penyewa di pusat membeli belah kami, namun kami juga bercadang untuk membuka ruang perniagaan ini kepada usahawan di luar untuk turut serta dalam Bazaar Lokal”, tambah Radzi.

“PREC akan turut menyediakan servis sokongan dan bimbingan “coaching” kepada para peniaga yang kurang pengetahuan dan kemahiran dalam perniagaan atas talian dengan membekalkan ilmu dan informasi sebelum berdaftar dengan Bazaar Lokal”, tambah Radzi lagi.

Sejak penularan wabak Covid-19 dan penguatkuasaan kerajaan dengan Perintah Kawalan Pergerakan, terdapat peningkatan penggunaan e-dagang secara mendadak bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Peralihan ke arah ekonomi digital adalah sesuatu yang wajib untuk diterokai oleh para usahawan selain bergantung dengan kedai fizikal sahaja.

Inisiatif untuk menubuhkan Bazaar Lokal adalah sebahagian daripada proses transformasi PREC ke arah dunia digital. Melalui Bazaar Lokal ini, kedua-dua peniaga dan pembeli berupaya menjalankan transaksi perniagaan 24 jam sehari tanpa terikat dengan waktu perniagaan di pusat membeli-belah fizikal.

Antara kemudahan yang dapat dinikmati oleh peniaga Bazaar Lokal adalah perkhidmatan penghantaran barang di dalam bangunan SACC Mall, Kompleks PKNS Shah Alam dan juga Kompleks PKNS Bangi dengan kerjasama syarikat logistik Line Clear. Para peniaga di pusat membeli-belah PREC tidak perlu keluar untuk menghantar barang dengan kemudahan lokasi pengumpulan barang di dalam bangunan perniagaan masing-masing.

Bagi menjayakan inisiatif ini, PREC turut berganding bahu dengan Avantsky Sdn Bhd, sebuah syarikat yang berpengalaman dalam menguruskan pemasaran digital dan meraih pendapatan yang tinggi untuk jenama-jenama yang mereka keluarkan seperti Argania, AZ Beauty, Joielle Baby dan banyak lagi.

Kini, Bazaar Lokal masih di dalam proses untuk mendaftarkan para peniaga dan PREC mengharapkan sokongan penuh dari usahawan-usahawan di PREC dan luar untuk membawa Bazaar Lokal setanding dengan pusat jualan atas talian lain yang sedia ada.

Maklumat lanjut berkenaan PREC, sila layari laman sesawang (www.prec.my) dan laman sosial kami Facebook (PKNS Real Estate Sdn Bhd-PREC) dan Instagram (pknsrealestateofficial). Maklumat lanjut mengenai Bazaar Lokal sila layari (bazaarlokal.com) dan laman sosial Facebook (Bazaar Lokal), Instagram (bazaarlokal), Twitter (@BazaaLokal) dan Youtube (Bazaar Lokal).

 

###

 
Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Leave a Comment