PREC & PHSB PERUNTUKAN 35 RIBU BAIKI SEKOLAH KAFA INTEGRASI AL-MU’MIN

PREC & PHSB PERUNTUKAN 35 RIBU BAIKI SEKOLAH KAFA INTEGRASI AL-MU’MIN

 

KUALA LANGAT,  8 OGOS –  Keperluan untuk menaik taraf Sekolah KAFA Integrasi Al-Mu’Min dilihat sesuatu yang tidak boleh dipandang enteng oleh masyarakat kerana peluang untuk pelajar menimba ilmu adalah penting dan lebih mudah didapati di sekolah dengan adanya guru yang terlatih dan berpengalaman. Sejajar dengan itu, PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) dan anak syarikatnya Park Here Sdn Bhd (PHSB) telah melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat dengan menyalurkan sumbangan berjumlah RM35,000 bagi kerja-kerja menaik taraf sekolah tersebut.

“Bebanding dengan sekolah-sekolah agama di tempat lain, sekolah ini jauh ketinggalan dari segi kemudahan murid. Suasana pembelajaran terbuka tanpa ada pembahagian kelas dan juga keadaan yang tidak selesa serta panas sangat menguji kesabaran murid-murid dan guru-guru. Pihak sekolah menerima pendaftaran masuk seramai 443 orang pada tahun ini dan pihak sekolah terpaksa menambah lagi bilangan kelas dengan terpaksa menggunakan sepenuhnya ruang solat sebelah muslimat untuk dijadikan kelas, kata Pengerusi Sekolah KAFA Intgrasi Al-Mu’min, Ustaz Ismael Hamat.

 Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Sr. Fakru Radzi Ab Ghani berkata, PREC amat menitikberatkan hal-hal berkaitan kebajikan seperti ini agar dapat membantu meringankan kos menaik taraf sekolah untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang lebih kondusif serta memberi keselesaan kepada para pelajar dan guru-guru di masa akan datang selaras dengan seruan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Pemantauan awal telah dilakukan dan kami mendapati proses P&P yang dijalankan di sekolah kelihatan daif dan perlu dibaik pulih. Pendidikan merupakan salah satu bidang yang dilihat penting dan juga keutamaan kami dalam menjalankan aktiviti CSR serta tidak dapat dinafikan bahawa pendidikan yang lestari merupakan kunci kepada kesejahteraan negara, ujar Radzi semasa Majlis Penyerahan Sumbangan Menaik Taraf Sekolah Kafa Integrasi Al-Mu’Min di Dewan Pangsapuri Seri Saujana, Bandar Saujana Putra, Jenjarom Kuala Langat.

“Pelbagai inisiatif CSR yang telah dilaksanakan oleh PREC untuk dinikmati oleh masyarakat di luar sana seperti baru-baru ini PREC mengadakan program Kembara Ramadan dengan melawat rumah-rumah anak yatim, warga emas, orang kurang upaya dan kanak-kanak austisme untuk memberikan sumbangan dan berkongsi kasih sayang kepada mereka. PREC juga merancang untuk memberikan penajaan secara subsidi bagi bil utiliti rumah-rumah kebajikan yang terpilih serta Pusat Tuisyen Sayang yang memberikan khidmat tuisyen secara percuma kepada pelajar-pelajar miskin kota”, tambah Radzi.

Turut hadir pada majlis penyerahan sumbangan ialah Orang Besar Daerah Kuala Langat, Yang Berhormat Tengku Dato Mohamed Al Haj Tengku Harun, Pengurus Besar Pembangunan Strategik PKNS merangkap ahli EXCO PREC, Haji Mohd Adzha Jumali, barisan perngurusan PREC, PHSB, guru-guru dan pelajar sekolah tersebut.

PKNS Real Estate Sdn Bhd atau lebih mesra dikenali sebagai PREC, merupakan sebuah syarikat pelaburan hartanah dan anak syarikat negeri Selangor yang telah ditubuhkan sejak 2012. PREC kini memiliki 6 bangunan di Kawasan Lembah Klang termasuk SACC Mall, Kompleks PKNS Shah Alam dan Kompleks PKNS Bangi. Dalam masa 6 tahun, PREC juga telah berkembang pesat dan mencapai pelbagai kejayaan, dan salah satunya ialah mewujudkan anak syarikat, Park Here Sdn Bhd, sebuah syarikat pengurusan tempat letak kereta.

###

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Leave a Comment