Tiga Pusat Kebajikan Dapat Baju Raya Rekaan Khas

IPOH: Perak menjadi lokasi kedua kepada majlis penyampaian baju raya anjuran iM4U fm Fabrik Kasih bersama Sunway 2017 setelah lokasi pertamanya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagi anjuran di Perak, seramai 98 penerima bantuan terdiri daripada penghuni tiga pusat kebajikan di negeri ini mendapat baju raya rekaan khas pereka fesyen Tengku Syahmi yang bertemakan 60-an Saloma.

 

Tiga pusat kebajikan yang terpilih itu ialah Pertubuhan Kebajikan Rumah Orang-Orang Tua Islam Titian Abadi (PEKITA), Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Warga Miskin Parit (Bait Al-Amin) dan Persatuan Kebangsaan Austime Malaysia (NASOM) Ipoh.

Program ini menampilkan tiga pereka fesyen seperti Tengku Syahmi, Zakwan Anuar dan Fuzana Mokhtaza dan mereka dibantu oleh para sukarelawan daripada 12 Giat Mara dan empat buah kolej Vokasional seluruh negara.

 

Para pelajar diberi tugasan menyediakan koleksi pakaian raya untuk 9 buah pusat kebajikan di tiga buah negeri iaitu Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang.

iM4U fm Fabrik Kasih bersama Sunway 2017 merupakan inisiatif iM4U fm dengan kerjasama dari kumpulan Sunway serta tajaan fabrik dan aksesori dari PKNS Real Estate Company (PREC).

Menurut Pengarah iM4U, Kartini Ariffin program sukarelawan ini adalah satu usaha untuk membuka minda masyarakat bahawa aktiviti sukarelawan bukan hanya berkaitan gotong-royong semata tetapi juga bantuan profesional.

 

“Ia satu contoh kerjasama yang melibatkan banyak sektor supaya mampu memberikan impak lebih maksima,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis iM4U fm Fabrik Kasih bersama Sunway 2017 dan Majlis Berbuka puasa di Hotel Lost World Tambun di sini hari ini.

Terdahulu pada majlis tersebut wakil penghuni tiga pusat kebajikan turut menggayakan koleksi pakaian mereka di pentas.

Selain menyampaikan sumbangan baju raya program ini turut membantu bagi membaik pulih dan penyelenggaraan ketiga-tiga pusat kebajikan seperti mengecat, menukar lampu dan kipas serta membaiki atap pusat kebajikan tersebut.

iM4U fm Fabrik Kasih bersama Sunway 2017 yang memasuki tahun ketiga penganjurannya kali ini selain membantu golongan memerlukan sempena Ramadhan dan Syawal ia juga bagi menggalakkan sukarelawan yang terdiri daripada pelajar rekaan fesyen meningkatkan kemahiran dibimbing oleh pereka fesyen terkenal dalam usaha menyumbang semula kepada masyarakat.

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Leave a Comment