FESTIRA’16: Reaksi positif peniaga di Kompleks PKNS

SHAH ALAM, 21 JUN : Peluang keemasan menambahkan rezeki di bulan Ramadan membuatkan peniaga di Kompleks PKNS di sini, bersyukur dengan kesempatan dibuka PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC).

Penganjuran Festival Ramadan Selangor 2016 (FESTIRA’16) disambut baik peniaga yang membuka gerai dan kiosk di Kompleks PKNS.

FESTIRAKompleks PKNS pada tahun ini memperkenalkan konsep ruang perniagaan baru dinamakan Tempat Orang Lokal (TOL) yang merupakan inisiatif PREC mengetengahkan usahawan baru terutamanya usahawan atas talian.

Tinjauan dilakukan mendapati reaksi positif daripada peniaga. Rosminah Hanim Mohd Adnan, 30, berkata, ini peluang terbaik baginya memasarkan produk pakaian dan tekstil kapas.

Sejak FESTIRA 16 bermula pada 27 Mei lepas sehingga kini jualan produknya amat menggalakkan.

“Saya tidak sangka tapak disewakan ini dekorasi dan konsepnya amat cantik sekali, konsep ini sememangnya antara tarikan terbaru kepada pelanggan untuk datang membeli-belah di Kompleks PKNS,” katanya.

Bagi peniaga tudung, Jalil Harun, 35, berkata Kompleks PKNS adalah syurga membeli-belah terutama pada bulan Ramadan, beliau tidak mahu melepaskan peluang untuk tidak berniaga di kompleks itu.

“Alhamdulillah sambutan pengunjung sungguh memberangsangkan,malah pendapatan saya juga meningkat.

“Peluang diberikan PKNS sangat baik terutama kepada usahawan kecil seperti kami, terima kasih kepada PKNS kerana menyediakan tapak untuk kami memasarkan hasil air tangan sendiri,” katanya.

Hazwan Zulkifli, 26, peniaga pakaian kurta dan jubah, berkata, lokasi tapak disediakan PKNS juga strategik bagi memudahkan kunjungan pelanggan.

“Ruang dan peluang dibuka PKNS ini sangat membantu peniaga bumiputera.

“Kami berniaga hingga malam raya, dan sehingga hari ini jualan amat menguntungkan terutama daripada pembeli generasi muda yang minat dengan fesyen hipster,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga aksesori yang sudah berniaga di Kompleks PKNS lebih 15 tahun, Naharuddin Mohd Zain, 52,berkata, beliau amat berpuas hati dengan kadar sewaan di Kompleks PKNS sempenaFESTIRA 16.

“Kadar sewa tapak juga mahal sedikit tetapi berbaloi, memang pada awal Ramadan kurang pengunjung tetapi biasanya hujung-hujung kita mampu mengejar untuk membayar sewa dan mendapat untung.

“PKNS banyak membantu peniaga dan usahawan kecil seperti kami mengembangkan perniagaan,” katanya.

Di dalam perkembangan lain, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) baru-baru ini memenangi Anugerah Pembangunan Usahawan – Sektor Peruncitan daripada International Business Review Award.

Anugerah diberikan di atas peranan dan sumbangan PKNS yang banyak menyediakan pelbagai program dan khidmat nasihat ilmu keusahawanan kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).

Selain usahasama erat di antara PKNS dan PREC dalam menyediakan ruang perniagaan kepada usahawan bumiputera untuk memperkenalkan produk mereka di pasaran.

PREC adalah anak syarikat milik penuh PKNS yang menguruskan enam bangunan komersial PKNS iaitu Kompleks PKNS Shah Alam, Kompleks PKNS Bangi, Menara PKNS, Wisma Yakin, Menara Worldwide dan pusat membeli-belah SACC Mall.

EZY

sumber : http://bm.selangorku.com/98524/festira16-reaksi-positif-peniaga-di-kompleks-pkns/

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Leave a Comment