iM4U fm FABRIK KASIH

Muhammad Shalaby Shahbuddin

Seberang Jaya: “Sehingga kini, saya sudah berjaya menyiapkan 14 jenis fesyen baju,” kata seorang pelajar GiatMara Bagan, Butterworth yang mengikuti kursus Fashion & Dressmaking bermula awal Januari lalu.

Nurul Iwana Nordin, 19 berkata, antara jenis pakaian dijahit dan disiapkannya seperti baju korporat, jaket, baju ahli silat, skirt, blaus dan pelbagai lagi.

Dia berkata, minat terhadap mereka dan menjahit pakaian timbul sejak dia berusia 13 tahun apabila mula berjinak-jinak membantu neneknya di kampung menyiapkan tempahan pakaian raya.

“Ketika di rumah nenek di Pendang, Kedah, saya membantu nenek memotong kain dan membuat jahitan tepi pada setiap pakaian ditempah pelanggan.

“Di samping itu, setiap kali menjelangnya Aidilfitri, saya akan membantu ibu menyiapkan langsir, sekali gus mengambil keputusan untuk mendalami bidang ini di menjadi seperti pereka fesyen terkenal yang juga mentor saya iaitu Zakwan Anuar,” katanya yang tinggal di Permatang Pauh, di sini.

Nurul Iwana berkata demikian pada majlis iM4U fm Fabrik Kasih bersama Sunway 2017 yang menyaksikan sebahagian daripada 158 penerima membabitkan Wisma Yatim Lelaki dan Perempuan Islam Pulau Pinang, Pusat Jagaan Darul Hanan, Kepala Batas dan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM Pulau Pinang) memperagakan koleksi pakaian raya, selain menerima sumbangan duit raya serta beg cenderahati di Hotel Sunway, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Pengurus Besar Sunway Carnival Mall Seberang Jaya Chow Heng Wah dan Pengurus Besar Hotel Sunway Seberang Jaya dan Georgetown Prakash Kumaran

Nurul Iwana berkata, dia mengambil masa selama empat hari untuk menyiapkan sepasang baju dan seramai 20 pelajar daripada GiatMara Bagan terbabit dalam menyiapkan pakaian hari raya untuk warga emas di Pusat Jagaan Darul Hanan, Kepala Batas.

Dia berkata, antara cabaran getir dilaluinya dalam menyiapkan pakaian untuk warga emas itu adalah ketika melakukan ukuran di bahagian leher selain menghadapi masalah mengambil ukuran badan seseorang warga emas yang sudah membongkok.

Menurutnya, dia amat gembira dan berpuas hati pakaian raya dijahitnya itu disumbangkan kepada golongan kurang bernasib baik selain menceriakan mereka pada Aidilfitri ini.

Sementara itu, Pengarah iM4U fm Kartini Arifin berkata, iM4U fm Fabrik Kasih bersama Sunway 2017 adalah inisiatif pihaknya dan mendapat kerjasama daripada Kumpulan Sunway serta mendapat tajaan fabrik dan aksesori daripada PKNS Real Estate Company (PREC).

Beliau berkata, program itu menampilkan tiga pereka fesyen tempatan seperti Tengku Syahmi, Zakwan Anuar dan Fuzana Mokhtaza yang menjadi mentor kepada pelajar rekaan fesyen dari GiatMara Malaysia dan Kolej Vokasional untuk menyediakan koleksi pakaian raya bagi sembilan pusat kebajikan di tiga negeri seperti Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang.

“Selain menyediakan koleksi pakaian raya, Sunway Property dan Sunway Construction turut menjalankan kerja baik pulih di sembilan pusat kebajikan terpilih di tiga negeri itu, selain Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia sebagai rakan usahasama Kumpulan Sunway,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 9:26 AM
Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Leave a Comment